MAKAN SUP URI UNTUK KEKAL CANTIK
Makan daging sendiri
Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
2010/07/09
salman@hmetro.com.my
2010/07/09
Malah, pengambilan sup uri sebagai bahan untuk kelihatan jelita juga satu amalan alternatif ditawarkan segelintir ‘bomoh kecantikan’ jika wanita berkenaan enggan memakai susuk berikutan pelbagai pantang larang perlu dipatuhi atau bakal ditimpa bencana.
Bukan hanya diproses untuk dihirup bersama sup, bagi menambahkan lagi kemujaraban, uri terbabit juga dikatakan dipuja menggunakan mantera tertentu sebelum dinikmati wanita yang mahu kelihatan cantik.
Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Hanafi Abd Malek berkata, beliau pernah didatangi wanita berusia lewat 50-an mengaku memakan uri semata-mata untuk kelihatan cantik.
“Memang benar khasiat uri dimakan memang mujarab, walaupun sudah berusia, dia kelihatan seperti anak dara, malah kulit kelopak matanya juga masih tegang, tidak seperti wanita lain yang sebaya.
“Bagaimanapun, wanita itu sudah bertaubat dan kini sering dibelenggu perasaan bersalah kerana sanggup memakan benda kotor semata-mata untuk mencapai hajatnya.
“Bukan itu saja, dia kini mendakwa loya dan geli setiap kali melihat sup kerana terbayangkan uri dijamah satu ketika dulu,” katanya.
Katanya, bukan hanya seorang, malah beliau pernah dikunjungi 10 wanita yang mengaku pernah menghirup sup uri dan semuanya diminta bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Dalam konteks agama, beliau berkata, hukum memakan uri adalah haram dan dianggap sebagai memakan daging manusia, sama sekali ditegah walaupun terbukti berkesan untuk menjadikan seseorang wanita itu kekal jelita sepanjang masa.
“Amalan memakan uri bukan rahsia bagi kalangan wanita khasnya di Jepun, Taiwan, Thailand dan Indonesia kerana khasiatnya begitu tinggi, bagi mereka ia tidak dibuang, bahkan diproses sebagai ramuan dalam industri pembuatan kosmetik.
“Sepatutnya uri yang bertujuan melindungi dan membekalkan bayi dengan sumber zat sepanjang dalam kandungan ibu perlu ditanam, bukan digunakan bagi perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan segelintir wanita sanggup menghirup sup dicampur uri untuk kelihatan cantik, malah mereka sanggup berusaha mendapatkan uri dari pembekal tertentu sebelum menjadikan ‘tembuni’ bayi itu sebagai hidangan kesihatan.
Amalan menjijikkan itu didedahkan seorang tabib Cina dan lebih mengejutkan apabila sebahagian besar penggemar uri itu, wanita Melayu.
Selain dimakan segar dan dijadikan hidangan istimewa dalam sup, ada segelintir wanita mengeringkan uri berkenaan sebelum dijadikan bahan ramuan masakan kerana kepercayaan mampu mengimbangi hormon selain dapat mengeratkan hubungan ibu dan anak.
0 Komen Melekat:
KOMEN BAIK2.JANGAN MENCARUT NANTI KENA CUBIT.
Anda bertanggungjawab pada setiap komen anda. Admin blog tidak bertanggungjawab atas setiap komen yang anda tuliskan di sini