JEMPUT BACA PADA YANG SUKA BUAT MARKETING MENGELIRUKAN & MENIPU
Tujuan pemasaran ialah sebagai cara untuk memperkenalkan suatu perniagaan kepada masyarakat, melalui produk yang dibuat oleh perniagaan tersebut. Maka di atas tujuan inilah, para peniaga melakukan aktiviti pemasaran untuk memperkenalkan produk atau barang jualan kepada masyarakat. Pemasaran juga dilakukan bagi melonjakkan hasil pendapatan daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan.
Atas tujuan ini beberapa penipuan dilakukan bagi mencapai tujuan di atas. Penipuan ini sama ada dilakukan secara lisan, atau melalui penulisan di sosial media. Antara kaedah yang digunakan ialah menulis kisah-kisah rekaan di media sosial tentang sesuatu perkara, sama ada kisah rumah tangga, atau kemalangan yang direka-reka. Terdapat juga kaedah mempamerkan bahawa perniagaannya di kunjungi ramai orang, dengan mengupah orang untuk melakukan fake review dan pelbagai lagi bentuk penipuan.
Hukum Marketing (Secara Umum)
Islam menghalalkan segala urusan jual beli secara umumnya yang tidak berkait dengan riba. Firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba
(Surah al-Baqarah: 275)
Berdasarkan nas Al-Quran di atas, hukum melakukan aktiviti marketing adalah harus berdasarkan kaedah fiqh:
الوَسَائِل لَها أَحْكَام المَقَاصِد
Maksudnya: Wasilah (medium untuk mencapai sesuatu tujuan)akan mengambil hukum maqasid (tujuan)
Kedudukan Peniaga yang Melakukan Penipuan Menurut Islam
Islam sangat tegas dalam hal penipuan. Hal ini boleh kita lihat dengan jelas bagaimana kemurkaan Allah hingga adanya sebuah surah khusus di dalam Al-Quran yang mencela dan mencelakakan golongan melakukan penipuan. Firman Allah SWT pada awal surah berbunyi:
وَيْلٌ لِّلْمُطَفِّفِينَ
Maksudnya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang berlaku curang.
Kemudian di dalam surah yang sama Allah berfirman dengan menyebut secara jelas:
وَإِذَا كَالُوهُمْ أَو وَّزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ
Maksudnya: Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.
Selain itu, amaran yang keras dalam hal ini ini boleh dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi bersabda:
مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنَّا وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: “Siapa yang mengangkat senjata ke atas kami, bukanlah daripada golongan kami, dan siapa yang menipu kami, bukan daripada golongan kami”
Para fuqaha’ bersepakat bahawa hadis ini tidak diambil maknanya secara zahir iaitu pada frasa “bukan daripada golongan kami”. Frasa ini tidak membawa maksud terkeluar daripada Islam. Mereka bersepakat bahawa maksud frasa “bukan daripada golongan kami” ialah bukan cara seorang muslim untuk melakukan penipuan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/544)
Kesimpulan
Daripada perbincangan di atas, dapat disimpulkan beberapa perkara:
- Marketing hukumnya adalah harus jika bebas daripada perkara yang diharamkan.
- Kejujuran dalam perniagaan adalah satu perkara yang tinggi akhlaknya dalam Islam hingga disebutkan secara khusus kedudukan para peniaga di dalam syurga.
- Penipuan adalah satu perkara yang ditegah di sisi Islam dalam sebarang urusan khususnya perniagaan.
Sumber : Website Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Zaman sekarang ada dua golongan perniaga online yang suka menipu. Satu suka menipu yang mengambarkan dia kaya dengan hasil perniagaan online dia dan satu golongan lagi menggunakan taktik yang mengambarkan hidup dia daif, susah, miskin, sakit,cacat untuk meraih simpati dan melariskan jualan dan pada yang sama mendapat sedekah dari individu individu yang terpedaya dengan ceritanya
Moral of the story.. Yakin dengan usaha, InsyaAllah, ada rezeki dari Allah. Tak perlu menggunakan marketing menipu & misleading (mengelirukan). Rezeki Allah ada di mana mana. Orang jujur Insya Allah murah & berganda rezekinya. Walau sedikit andai ada keberkataan Insya Allah itulah sebaik baik rezeki yang kita dapat.
0 Komen Melekat:
KOMEN BAIK2.JANGAN MENCARUT NANTI KENA CUBIT.
Anda bertanggungjawab pada setiap komen anda. Admin blog tidak bertanggungjawab atas setiap komen yang anda tuliskan di sini