DILARANG MENGIKLANKAN PRODUK RUKYAH,SUNNAH ATAU APA APA BERUNSURKAN KEAGAMAAN.

5/25/2022 09:01:00 AM suria lekatlekit 0 Comments

DILARANG MENGIKLANKAN PRODUK RUKYAH, SUNNAH ATAU APA APA BERUNSURKAN KEAGAMAAN. Walaupun kita dah hampir ke pertengahan tahun 2022 namun masih ramai yang tertipu dengan produk produk overclaim walau yang dah ramai pihak tampil memberi kesedaran pada masyarakat. Tapi tu la..majoriti masih percaya pada penjual produk dari individu yang berautoriti. Itulah keistimewaan penjual produk sebenarnya. Tak payah belajar tinggi tinggi, tak payah jadi orang berilmu cuma mantapkan skill untuk memanipulasi atau menipu je memang boleh hidup senang di dunia. Sebab manusia ni banyak yang lebih suka dengar harapan indah yang kosong dari kebenaran yang pahit. Sebab tu ramai pilih telan produk overclaim yang tinggi kandungan gula dari ikut saranan pakar kesihatan dan mengambil ubat yang di bekalkan hospital sebab kebanyakan pahit.

Isu produk yang menggunakan tuntutan keagamaan ni bukan baru malah dah lama cuma saja la nak tulis balik kat blog ni untuk bagi kesedaran pada pembaca blog lekatlekit.com yang nak terima la. Yang tak nak terima mampuih pi kat hang la bak kata orang kedah. Itu pilihan masing masing. Kita sendiri pilih untuk jadi bijak atau di perbodohkan. 

Semalam tertengok la satu konten tiktok dari seorang founder produk yang di kenali dengan kontroversi promot produk garam konon boleh merawat gangguan makhluk halus ni. Urut dada & mengucap je la. Dengan harga garam dia jual tu rasa Ya Allah.. sesungguhnya orang jahat ni memang di dunia syurga buat mereka. Padahal kalau beli garam kasar lepas tu pergi darussyifa tak sampai suku pun harga produk garam tu. Kenapalah menipu sesama bangsa & agama demi memenuhi tembolok sendiri?

Sebenarnya produk macam tu dah ada kat pasaran dengan tuntutan macam macam la. Rukyah la.. sunnah la.. untuk memanipulasi. Yelah.. kalau jual garam je sapa nak beli kalau harga macam tu. Kena la overclaim konon dah di rukyah.. di bacakan 30 juzuk bagai. Lepas tu claim la merawat gangguan makhluk halus, sihir apa apa je la penyakit mistik atau penyakit lain. Tuntutan kena 1001 penyelesaian baru boleh jual dengan harga maha nirrojim.

Ramai yang tak tahu sebenarnya majlis Agama Islam melarang penjualan produk yang membuat tuntutan keagamaan seperti rukyah, sunnah dan sebagainya.

Perbuatan menjual produk-produk ruqyah atau jampi meskipun menggunakan ayat suci al-Quran dan doa-doa yang baik maksudnya, boleh membuka kepada pintu fitnah. Justeru, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Malaysia Kali Ke-108 yang bersidang pada 2-3 November 2015 telah membincangkan mengenai Hukum Penjualan Produk Menggunakan Ayat Ruqyah (Ayat Al-Quran) Untuk Tujuan Komersial.

Muzakarah berkenaan telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam tidak menafikan penggunaan ruqyah dan Rasulullah S.A.W. menyebutkan bahawa sebaik-baik ubat ialah ayat-ayat Al-Quran dan Baginda membolehkan untuk meruqyah selama mana tidak berlaku syirik.

Berdasarkan dapatan kajian yang dikemukakan, Muzakarah mendapati bahawa isu produk yang dilabelkan sebagai ‘makanan sunnah’ dan makanan/minuman yang diruqyahkan dengan ayat Al- Quran serta zikir semakin berleluasa dan menjadi pelan pemasaran pengusaha produk-produk makanan dan barangan di Negara ini. Ia telah menjadi kaedah untuk melariskan produk bersandarkan perkataan ‘makanan sunnah’ dan ruqyah.

Sehubungan itu, sebagai Sadd az-Zarai’ kepada unsur-unsur penipuan dan penyalahgunaan ayat-ayat Al-Quran untuk tujuan komersial, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan ruqyah dan istilah ‘makanan sunnah’ secara tidak bertanggungjawab untuk tujuan mengaut keuntungan dan melariskan produk perlu dihentikan kerana dibimbangi ia termasuk dalam perbuatan memperdagangkan ayat-ayat Al-Quran yang ditegah oleh ajaran Islam.

Oleh hal yang demikian, Muzakarah menggesa supaya perbuatan tersebut ditangani segera supaya istilah ‘makanan sunnah’ ini tidak difahami oleh masyarakat dalam konteks yang tidak tepat, dan penggunaan ruqyah tidak disalahgunakan sehingga menggugat akidah sekiranya masyarakat meyakini keberkesanan ruqyah pada sesuatu produk tersebut mengatasi usaha dan ikhtiar serta kekuasaan Allah S.W.T.

Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya penggunaan ruqyah pada sesuatu produk untuk tujuan komersial tidak dibenarkan sama ada untuk tujuan pelabelan, pengiklanan atau promosi.

Sumber : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1351-al-kafi-397-hukum-menjual-produk-yang-diruqyah-dengan-alatan-elektronik

Produk macam ni juga di kategori sebagai produk overclaim. Overclaim juga salah di sisi undang undang. Boleh di saman dan di dakwa di mahkamah.

Di bawah Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit dan kegagalan mematuhinya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak lebih dua tahun.

Jadi pada pengeluar, pengasas dan penjual produk jadilah manusia bertanggungjawab dan jujur dalam perniagaan anda kerana ia berkaitan dengan sumber rezeki yang anda perolehi. Risau berlaku Istidraj.

0 Komen Melekat:

KOMEN BAIK2.JANGAN MENCARUT NANTI KENA CUBIT.
Anda bertanggungjawab pada setiap komen anda. Admin blog tidak bertanggungjawab atas setiap komen yang anda tuliskan di sini

BERMINAT UNTUK KOLABRASI DENGAN BLOG LEKATLEKIT

Blog lekatlekit.com menerima sebarang kolabrasi untuk review produk atau servis. Syarat sangat mudah

* Review berbayar dan harga masih boleh di runding
* Sekiranya produk kosmetik/supplement/ubat pastikan berdaftar dengan KKM & tidak boleh overclaim
* Kalau produk makanan/minuman tidak boleh overclaim
* Andaikata produk/servis di masa akan datang mempunyai kes seperti di kesan mengandungi bahan terlarang atau servis anda mempunyai unsur penipuan, admin berhak memadam serta merta artikel review di blog
* Kalau produk atau servis anda bersih dari sebarang masalah, Artikel kekal selagi blog wujud.

Syarat ini Berkuatkuasa serta merta dari tarikh 21 Oct 2017

Sekiranya berminat berkolabrasi dengan blog lekatlekit.com email ke lekatlekitgurl@yahoo.com