Saya tahu ada blogger, instafamous & selebriti yang buat review ni tak tahu tentang perkara ni. Ada juga even dia baca dia buat tak tahu sebab kalau dia buat buat macam tahu.. Dia risau rice cooker dia tak cukup beras pulak. Jaga income katanya so buat pejam mata sudah. Esok2 orang tanya.. alasan biasa saya tak tahu. Takpe.. yang mana rasa tak nak follow peraturan & undang2 terpulang. Yang mana rasa nak menulis sesuatu yang selamat & bermanafaat boleh la ambil info yang saya share ni.
Sebagai seorang blogger saya.. ye memang banyak produk review kita dapat. Tak kira produk kosmetik ke, produk supplemet/ubat/jamu, produk makanan.. Kita akan menulis mengikut kehendak client yang kadang2 overclaim. Ada juga produk tak berdaftar tapi kita jarang ambil kisah pasal tu. Yang kita tahu.. kau bayar aku tulis. Tapi ada juga berdaftar tapi iklan atau review yang mereka nak kita tulis melanggar peraturan pengiklanan yang di tetapkan KKM. Pun benda tu salah satu isu besar yang boleh menyebabkan kita even hanya mengambil upah menulis review di saman & di denda. Apa hangpa ingat penulisan outspoken hentam ponder produk je ke boleh kena saman?? Hangpa tu check balik penulisan review hangpa.. Even tulis dengan di selang seling ayat ayat unsur Islamik pun kalau menyalahi akta pengiklanan yang di tetapkan oleh KKM.. tak mustahil boleh juga kena saman dengan KKM.
Jadi sebagai blogger yang menjadi salah satu sumber rujukan pembaca saya nak share perkara ni yang saya ambil dari posting page
Public Health Malaysia. Semoga dapat memberi panduan kepada kita terutama blogger yang banyak terlibat dalam penulisan review produk
PANDUAN KEPADA BLOGGER, INSTAFAMOUS & SELEBRITI DALAM PENGIKLANAN PRODUK KESIHATAN
*Termasuk semua yang terlibat dalam penjualan produk tak kira founder/seller/agent
Sebelum membuat iklan, menulis review atau membuat review tak kira cara bertulis audio atau video sesuatu produk pastikan perkara ini terlebih dahulu :
1. PASTIKAN UBAT yang diiklankan/dipromosikan adalah BERDAFTAR dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM (mempunyai nombor pendaftaran MAL) dan bernotifikasi (mempunyai nombor NOT) bagi kosmetik.
Contoh:
☑️MAL20011234T (Ubat)
☑️NOT123456789K (Kosmetik)
2. Sekiranya mengiklankan ubat, PASTIKAN HANYA mengiklankan ubat berdaftar (mempunyai nombor pendaftaran MAL) yang dikategorikan sebagai produk:
☑️Over-The-Counter (OTC): nombor MAL diakhiri huruf X
☑️Tradisional: nombor MAL diakhiri huruf T
☑️Suplemen kesihatan:nombor MAL diakhiri huruf N
3. Ubat yang memerlukan preskripsi TIDAK BOLEH diiklankan. Ubat preskripsi (nombor MAL diakhiri huruf A) hanya boleh didapati melalui pengamal perubatan berdaftar sahaja dan/atau didispens oleh ahli farmasi berlesen sahaja.
4. Pengiklanan yang menjurus kepada rawatan dan pencegahan selain daripada penyakit/keadaan
yang dilarang perlu mendapat kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU).
5. ELAKKAN mengambil bahagian dalam penyiaran iklan produk kesihatan (contohnya sebagai duta / agen / jurucakap) yang melanggar mana-mana akta yang dikuatkuasakan.
6. JANGAN menyiarkan/mempromosikan iklan makanan yang membuat tuntutan perubatan (melanggar Akta Makanan 1983). Surat pengkelasan produk BUKANLAH satu kelulusan daripada
KKM.
Contoh yang tidak dibenarkan:
➧Minuman A boleh merawat kencing manis dan darah tinggi
➧Jus botanik B boleh menghilangkan sakit-sakit sendi dan merawat arthritis
➧Minuman pra-campuran C berupaya mengurangkan bengkak prostat
7. JANGAN mengambil bahagian dalam menyiarkan iklan makanan yang mengandungi ‘negative list’
melainkan ia telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.
Contoh produk yang dimakan mengandungi:
☑️Glutathione
☑️Pearl
☑️Gamat
☑️Resveratrol
☑️Bahan negatif lain.
8. JANGAN mengambil bahagian dalam menyiarkan iklan kosmetik yang membuat tuntutan
perubatan (bertentangan dengan Kod Pengiklanan Kosmetik). Tuntutan dalam skop kosmetik
sahaja dibenarkan.
Contoh yang tidak dibenarkan :
➧Losyen A boleh merawat eczema dan psoriasis
➧Minyak B boleh menghilangkan sakit-sakit sendi
➧Losyen C boleh digunakan untuk menguruskan badan
➧Krim D digunakan untuk meningkatkan prestasi seksual
9. JANGAN mengaitkan produk dengan makanan Sunnah atau yang berkaitan dengannya
(bertentangan dengan Pekeliling Jakim Bil 2 Tahun 2016 – Ayat Ruqyah & Makanan Sunnah)
Contoh yang tidak dibenarkan :
➧Produk A dibacakan dengan ayat-ayat al-Quran
➧Produk B adalah makanan sunnah
10. JANGAN membuat tuntutan/ kenyataan yang mengelirukan pengguna (bertentangan dengan Akta Perlindungan Pengguna 1999)
Contoh yang tidak dibenarkan :
➧Produk A disahkan halal (melainkan mempunyai sijil Halal yang masih sah)
➧Produk B dibuat daripada bahan-bahan organik (melainkan mempunyai dokumen sokongan
mengesahkan sumber dari bahan organik)
➧Produk C boleh diambil oleh semua peringkat umur termasuklah bayi dan kanak-kanak kecil
(melainkan mempunyai dokumen sokongan mengesahkan keselamatan untuk penggunaan
kanak-kanak)
➧Produk D jika diambil oleh orang dewasa boleh menambah ketinggian (kenyataan mengelirukan
kerana ketinggian orang dewasa tidak boleh bertambah)
TAMBAHAN BUAT SELEBRITI
1. Selebriti dinasihatkan supaya sebelum dilantik menjadi duta / agen, selidik latar belakang syarikat
sekiranya pernah disabitkan dengan mana-mana tindakan undang-undang sebelum ini.
2. Selebriti juga dinasihatkan agar semak laman web rasmi syarikat/media sosial rasmi syarikat
sekiranya ada membuat pengiklanan yangmelanggar undang-undang yang dikuatkuasakan.
3. Selebriti dinasihatkan agar membuat pengiklanan secara profesional, bertanggungjawab dan tidak
mencipta kontroversi samada yang menyinggung mana-mana kumpulan bangsa, agama dan kaum
dengan mengambil kira sensitiviti adat dan budaya masyarakat majmuk di Malaysia.
⚖️HUKUMAN YANG BAKAL ANDA KENA⚖️
Mana-mana orang yang mengambil bahagian dalam penyiaran sesuatu iklan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 Akta Ubat (Iklan & Penjualan 1956):
☑️Kesalahan pertama - Denda tidak lebih RM 3000 atau dipenjara tidak lebih 1 tahun atau kedua-duanya sekali.
☑️Kesalahan berikutnya - Denda tidak lebih RM 5000 atau dipenjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
*Boleh dikenakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam penyiaran sama ada pemilik produk, duta, agen, pengacara, media penyiaran, agensi pengiklanan dan lain-lain yang berkaitan.
Rujukan:
Panduan Kepada Selebriti Dalam Pengiklanan Produk Kesihatan, Cawangan Kawalan Iklan, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi,
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA.